9 FAKTOR YANG MENGHALANG ORANG MELAYU MEMBANGUNKAN TANAH PUSAKA.
Tahukah tuan-puan, orang-orang Melayu kita sebenarnya miliki banyak tanah yang dimiliki secara pewarisan?
Namun begitu, kenapa masih ramai lagi orang kita yang gagal memanfaatkan tanah pusaka ini untuk bina rumah kediaman sendiri sedangkan kos dan saiz rumah yang boleh dibina adalah jauh lebih murah dan luas berbanding rumah siap terbina?
Saya akan huraikan secara ringkas beberapa faktor yang menyebabkan perkara ini terjadi.
1) Status tanah yang berkongsi pemilikan.Tanah pusaka yang boleh mencapai keluasan berekar-ekar telah diwariskan secara keseluruhan kepada berbilang penama (anak-anak) tanpa melalui proses pecah sempadan. Hasilnya mengakibatkan sekeping tanah yang luas terpaksa dikongsi secara beramai-ramai sehingga menyukarkan waris untuk membuat pembangunan di atas tanah tersebut.
2) Pewarisan secara lisan.Orang-orang tua yang terdahulu cenderung mewariskan tanah pesaka sekadar melalui lisan kepada anak-anak. Kegagalan proses pewarisan ini untuk dibuat menurut kaedah dan peruntukan undang-undang mengakibatkan waris gagal untuk mendapatkan hakmilik sah terhadap tanah pesaka tersebut.
3) Tiada geran individu.Kesan daripada pon 1 & 2 di atas, waris gagal untuk mendapatkan geran individu yang sah. Ketiadaan geran individu mengakibatkan waris tidak layak untuk memohon pembiayaan perumahan daripada bank-bank.
4) Tiada proses pewarisan yang berlaku setelah pemilik asal meninggal.Seringkali berlakunya keadaan dimana pemilik asal meninggal dunia sebelum sempat mewariskan tanah milikannya. Kegagalan pewaris untuk menguruskan atau mematuhi proses faraid juga mengakibatkan status milikan tanah pesaka itu tergantung dengan begitu sahaja. Wujud juga kes yang mana pewaris tidak tahu rupanya si mati ada memiliki tanah kerana dirahsiakan daripada pengetahuan keluarga semasa hayat beliau.
5) Tanah tidak ditukar status.Kebiasaannya, tanah pesaka terutamanya di kampung-kampung tersenarai statusnya sebagai tanah pertanian. Walaupun bagi setiap tanah pertanian dibenarkan untuk didirikan sebuah rumah, jarang ada bank yang menawarkan pembiayaan perumahan kepada pemilik tanah berstatus pertanian melainkan ianya telah ditukar status kepada tanah bangunan.
6) Tiada pengetahuan berkenaan pegurusan hartanah.Pewaris tidak tahu apa yang perlu dilakukan terhadap tanah pesaka yang dimiliki untuk menjadikannya sesuai untuk dibangunkan. Sikap kebanyakan pewaris yang acuh tak acuh juga turut mengakibatkan tanah-tanah ini berkesudahan dengan terbiar begitu sahaja tanpa diuruskan dengan sempurna.
7) Tiada kemampuan kewangan.Pewaris-pewaris tiada kapasiti dalam aspek kewangan untuk melalui proses undang-undang bertujuan untuk melakukan pecah milikan dan penukaran status tanah dengan sah.Mereka juga gagal atau tidak sepakat untuk mencari jalan keluar kepada permasalahan ini.
8) Pewaris tidak berminat membangunkan tanah pesaka berikutan faktor lokasi.Faktor lokasi seringkali menjadi sebab utama kenapa pewaris tidak berminat untuk membangunkan tanah pesaka. Sebagai contoh, pewaris yang tidak memiliki perancangan untuk menetap di kampung kerap kali membiarkan tanah pesaka mereka terbiar begitu sahaja. Dalam kes sebegini, adalah lebih baik sekiranya tanah pesaka tersebut dijual kepada individu yang memerlukan manakala pewaris asal tersebut menggantikan milikan tanah itu dengan hartanah lain di kawasan yang ingin didiaminya. Melalui cara ini, milikan hartanah bumiputera dapat bertambah.
9) Wasiat pemilik asal yang tidak membenarkan tanah warisannya dipecah milik.Amalan tradisi orang-orang tua terdahulu yang sentiasa berpesan kepada waris supaya tidak memecahkan milikan tanah pesaka mengakibatkan waris-waris buntu dalam melakukan pembangunan ke atas tanah tersebut.Sedangkan setelah matinya pemilik asal, pewaris tidak lagi tertakluk kepada amanat asal pemilik samada dari sudut undang-undang mahupun hukum-hakam agama. Sebaliknya, pewaris adalah bebas untuk melakukan apa sahaja ke atas tanah milikan mereka mengikut perancangan yang difikirkan sesuai.
** EJEN HARTANAH BERDAFTAR DENGAN LEGACY REAL PROPERTY. AKTIF DI KAWASAN Cheras Bangi Kajang Kuala Lumpur Selangor Negeri Sembilan Hulu Langat Ampang Pandan Keramat DAN KAWASAN-KAWASAN BERHAMPIRAN**
Jika anda ingin menjual atau menyewakan hartanah, kami sedia memberi khidmat nasihat berkaitan proses penjualan / penyewaan hartanah bermula dari peringkat mencari pembeli, pembayaran deposit, proses pembiayaan pinjaman, proses guaman dan sebagainya.